KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengakui pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengakibatkan guru hilang kawalan terhadap murid mereka.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata sebahagian daripada masa ibu bapa perlu menjadi guru kedua bagi membimbing, memberi panduan dan maklumat kepada anak-anak mereka.

Menurutnya, guru menghargai ibu bapa yang mempunyai keupayaan dan komitmen berkenaan.

“Kita juga sedar bahawa bukan semua ibu bapa mempunyai panduan menjadi guru yang kedua di rumah.

“Kita berharap ibu bapa yang tidak mempunyai keupayaan sebegini boleh memberi sokongan kepada anak-anak mereka seperti memberi motivasi, bertanya khabar atau sering berhubung dengan guru untuk menyelesaikan isu yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-228 bertajuk 'PdPR: Ibu Bapa Pening Kepala, Anak-Anak Jadi Mangsa?' yang disiarkan menerusi atas talian di Studio Sinar Harian pada Khamis.

Wacana turut menampilkan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid dan Personaliti Televisyen, Ahmad Fedtri Yahya sebagai panelis manakala Shahril Sarapudin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, guru juga sentiasa bersedia memberi sokongan kepada ibu bapa.

“Kita juga perlu sedar bahawa tidak akan selamanya berada dalam PdPR.

"Apabila COVID-19 sudah reda, percayalah sekolah akan dibuka semula kepada pelajar dan pada masa itu sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan.

“Guru-guru mempunyai kemahiran untuk mengesan kelompangan, kelemahan atau aspek murid-murid ini tertinggal,” katanya.

Jelasnya, pada masa itu juga ada ruang bagi guru membaik pulih kekurangan dan kelemahan sepanjang tempoh PdPR.

“Kami di pihak guru amat berharap sokongan ibu bapa untuk memberi bantuan,” katanya.

PdPR | Beri peluang pelajar, guru biasakan keadaan