Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal berkuasa besar warga Singapura yang memasuki negara ini dengan menutup nombor plat mereka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, video yang tular di laman media sosial mengenai perkara itu baru-baru ini dilaporkan berlaku di Johor Bahru .

“Tindakan telah diambil termasuk mengeluarkan saman terhadap ‘bikers’ terlibat, tidak kira walaupun warga negara kita, apatah lagi warga negara luar, tindakan telah pun kita ambil,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, pada Isnin.

Terdahulu, tular di laman media sosial sebuah video berdurasi 43 saat yang diambil pengguna jalan raya mendakwa puluhan penunggang motosikal berkuasa besar warga Singapura menutup nombor plat mereka apabila memasuki negara ini.

Kelihatan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan nombor plat pendaftaran bermula dengan abjad ‘f’ yang merujuk kepada pendaftaran motosikal di Singapura itu, melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Perkara itu dikatakan telah menjadi trend 'bikers' warga Singapura disyaki bagi mengelak dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sepanjang PLUS.