KOTA BHARU: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan kandungnya yang berusia lima tahun dengan menyepak mangsa di sebuah kedai makan, minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anaknya di sebuah kedai makan di Lot 143, Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini pada jam 10.55 malam, 11 September lalu.
Sebagai bapa kandung mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin memohon agar tiada jaminan diberikan memandangkan kes itu melibatkan kanak-kanak, selain bimbang tertuduh boleh mengganggu mangsa yang juga anak kandungnya.
Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidie Akmal Hasan Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan anggota tentera yang telah berkhidmat selama 19 tahun serta mempunyai tiga orang anak.
Beliau turut memaklumkan isteri tertuduh tidak bekerja dan sedang menjalani rawatan hemodialisis, selain memerlukan bantuan suaminya untuk urusan ke hospital secara berkala.
Menurutnya, tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan keganasan rumah tangga atau kesalahan seumpamanya, selain tidak berisiko melarikan diri kerana tertakluk kepada pemantauan pasukan tempatnya berkhidmat.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta mengenakan beberapa syarat tambahan.
Antaranya, tertuduh dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, khususnya mangsa, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah jika memilikinya dan melaporkan diri di Balai Polis Pengkalan Chepa atau balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipercayai menyepak seorang kanak-kanak di sebuah kedai makan di sini, sekali gus mengundang kecaman orang ramai.