PDRM kekal komited bantu Indira Ghandi kesan anak - KPN

Mohd Khalid berkata polis turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam bagi membantu proses pengesanan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan untuk membantu Indira Gandhi mengesan anaknya yang hilang, selaras dengan segala arahan mahkamah dan peruntukan undang-undang.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menerima kunjungan Indira Gandhi bersama dua orang anaknya, diiringi Ahli Parlimen, M. Kulasegaran dan aktivis Arun Dorasamy di Bukit Aman pada jam 4.40 petang, Rabu.
Menurut Mohd Khalid, Kulasegaran dalam pertemuan itu memohon agar PDRM terus memberikan sokongan kepada Indira Gandhi, manakala Indira dan Arun menyuarakan harapan supaya usaha mengesan anak berkenaan dapat dipertingkatkan.
"PDRM kekal komited, sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan mahkamah”, termasuk melaksanakan usaha mencari anak Indira Gandhi mengikut lunas undang-undang.
"Polis turut mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam bagi membantu proses pengesanan, dan menegaskan bahawa semua maklumat akan diteliti secara profesional serta diambil tindakan berdasarkan prosedur siasatan sedia ada.
“PDRM akan terus memberikan kerjasama penuh demi memastikan setiap tindakan dilaksanakan dengan integriti, profesional dan selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Kes Indira Gandhi bermula pada 2009 apabila bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah (sebelumnya K. Pathmanathan), memeluk Islam secara unilateral dan menukar agama ketiga-tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira, sebelum melarikan anak bongsu mereka, Prasana Diksa, yang ketika itu berusia 11 bulan.
Walaupun mahkamah mengeluarkan beberapa perintah termasuk perintah mandamus supaya polis mengesan dan memulangkan Prasana, sehingga kini kanak-kanak itu masih tidak ditemui.
Mahkamah Persekutuan pada 2016 turut memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak tanpa persetujuan kedua ibu bapa adalah tidak sah.
Pada 28 Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Indira terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan berhubung dakwaan kegagalan melaksanakan perintah mahkamah, selepas mahkamah memutuskan polis tidak cuai dalam usaha mengesan bekas suami dan anaknya itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


