Dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti tujuh sindiket yang aktif di utara tanah air membabitkan warga Malaysia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata empat sindiket pemerdagangan manusia yang mempunyai 20 rangkaian dikenal pasti aktif di Perlis manakala tiga sindiket dengan 17 rangkaian aktif di Kedah.

Katanya, polis mengenal pasti sindiket terbabit susulan penemuan 159 kubur mangsa dan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand di sini, pada Mei tahun lepas,

Polis kini menggunakan alat canggih dron untuk memantau kawasan yang sukar dimasuki seperti Bukit Wang Burma, katanya dalam ucaptama pada Perbincangan Meja Bulat dan Bengkel Jenayah dan Permasalahan Sempadan di sini, hari ini.

Khalid berkata pihak berkuasa turut berkongsi maklumat dengan rakan Aseanapol berkaitan sindiket itu.

Selain itu, katanya di Kelantan terdapat 128 pangkalan haram antara Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang sepanjang 29 kilometer dan daripada jumlah itu 111 pangkalan haram di Rantau Panjang didapati aktif menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sindiket penyeludupan warga China dari Malaysia ke negara ketiga menggunakan pasport Malaysia palsu atau tulen dikesan aktif kembali dengan penangkapan dua pegawai imigresen baru-baru ini, katanya.

Khalid berkata di pantai barat terdapat 56 pelantar ikan khususnya di Perak menjadi kegiatan penyeludupan PATI oleh sindiket manakala di selatan terutama Johor, laluan haram banyak di Kota Tinggi, Pengerang, Ulu tiram dan Pontian.

Katanya pihak berkuasa juga mengesan 76 laluan haram di persempadanan Sarawak-Kalimantan manakala perairan Sabah dengan Filipina yang luas lebih mencabar dan memudahkan kegiatan penculikan, rompakan dan pengganas.

Dalam sidang media kemudiannya, Khalid berkata Malaysia sentiasa telus dan tidak menyembunyikan sebarang kes jenayah rentas sempadan terutama isu pemerdagangan manusia daripada pengetahuan dunia.

Sikap itu membolehkan Malaysia kini berada pada Peringkat 2 dalam laporan Human Watch Amerika Syarikat daripada Peringkat 3 sebelum itu, katanya.

"Bukit Wang Burma kini dijadikan tempat latihan komando. Kehadiran mereka setiap masa tidak mungkin sindiket penyeludupan manusia akan kembali menjadikan Bukit Wang Burma sebagai laluan," katanya.

Mengenai kumpulan ektremis agama, Khalid berkata polis konsisten mengambil tindakan terhadap sebarang kumpulan yang mengancam keselamatan negara dan telah memohon Majlis Agama Islam negeri-negeri mengharamkan kumpulan terbabit.

"Dalam soal ini polis tidak kompromi terhadap ajaran sesat sama ada Islam, Buddha, Hindu dan lain-lain agama," tegasnya dan menambah Malaysia mempunyai cukup peraturan dan undang-undang untuk membanteras sebarang bentuk ancaman.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,200 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang di lebuh raya seluruh negara bagi mengesan pesalah trafik.