Skip to main content

Malaysia

Hari TVET Negara 2026 perkukuh ekosistem TVET, tingkat kesedaran masyarakat

π’π„π‹π€πŒπ€π“ π‡π€π‘πˆ 𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐍𝐄𝐆𝐀𝐑𝐀 πŸπŸŽπŸπŸ” Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi teras dalam pembangunan modal insan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri serta pembangunan negara._FB Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Jun ini, menjadi platform nasional untuk memperkukuh ekosistem TVET serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranannya dalam pembangunan modal insan negara.

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang bakal berlangsung di Dataran Putrajaya dari 5 hingga 7 Jun ini, menjadi platform nasional untuk memperkukuh ekosistem TVET serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranannya dalam pembangunan modal insan negara.

Sekretariat Majlis TVET Negara, Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan sambutan bertemakan β€œTVET Pilihan Utama Kerjaya” itu menghimpunkan kementerian, agensi kerajaan, institusi TVET awam dan swasta, pemain industri, usahawan, pelajar serta masyarakat.

Menurut kenyataan itu, pelbagai aktiviti menarik dan interaktif akan diadakan menerusi enam hab utama, termasuk pameran TVET dan teknologi, seminar industri, Karnival Kerjaya TVET, program keusahawanan, pertandingan kemahiran, robotik, bola sepak dron, pameran kemahiran masa hadapan, TVET Idol, e-sukan serta pelbagai aktiviti santai dan hiburan berinformasi untuk seisi keluarga.

β€œPenganjuran ini turut menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri bagi memastikan pembangunan bakat negara selari dengan keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan yang berteraskan teknologi, inovasi dan kemahiran,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat Majlis TVET Negara memaklumkan TVET terus menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan enrolmen keseluruhan sebanyak 459,558 pelajar manakala kadar kebolehpasaran graduan TVET meningkat kepada 95.9 peratus pada 2025.

Menurut kenyataan itu, perkembangan berkenaan membuktikan TVET semakin diyakini masyarakat sebagai laluan utama untuk membina kerjaya berkemahiran tinggi dan masa depan yang lebih cemerlang.

Orang ramai khususnya pelajar, ibu bapa, belia dan pencari kerja dijemput hadir memeriahkan Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran. 

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi https://haritvetnegara.tvet.gov.my/

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement