Usaha mengekang aktiviti melibatkan pornografi kanak-kanak daripada terus menular di negara, akan dipantau menerusi kerjasama yang bakal terjalin antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan polis Australia dan United Kingdom (UK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerjasama itu juga membabitkan pembelajaran serta panduan mengesan aktiviti muat turun dan muat naik bahan terlarang itu di alam maya.

“Pihak polis telah ditambah upaya untuk mengesan aktiviti penurunan atau muat turun pornografi kanak kanak ini melalui internet dan kita juga bekerjasama dengan polis di Australia dan UK untuk mempelajari teknik terbaru mengesan mereka (penjenayah) melalui tindakan di internet dan tangkap mereka," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-33 Pasar Tani di Pasar Tani Taman Perling, Johor Bahru.

Jelasnya lagi, selain memantau kegiatan itu, pihak berkuasa juga akan mencari langkah untuk mengesan individu bertanggungjawab melakukannya.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri untuk memuat naik mahupun memuat turun pornografi kanak-kanak, kerana dikhuatiri mendatangkan banyak permasalahan sosial.

Pada Selasa, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Malaysia mencatatkan bilangan tertinggi alamat protokol internet (alamat IP) yang memuat naik dan memuat turun imej serta visual lucah kanak-kanak di Asia Tenggara.

Laporan itu turut menyatakan, ramai ibu bapa di negara ini membiarkan anak-anak mereka menggunakan telefon bimbit tanpa pemerhatian.