Pihak Polis Diraja Malaysia menafikan khabar angin mengatakan banduan dari Medan meloloskan diri ke Kuching adalah tidak benar.

Kehadiran helikopter di udara dan sekatan jalan yang diadakan adalah sebahagian daripada Program Pencegahan Jenayah yang dijalankan sempena bulan Ramadan ini.

Jabatan Imigresen telah pun memperketat dan mempertingkat kawalan di semua pintu masuk negara susulan kejadian lebih 200 banduan meloloskan diri dari Penjara Tanjung Gusta di Medan, Indonesia.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad juga pernah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Indonesia dan Polis Diraja Malaysia untuk memastikan tiada banduan yang memasuki dan menjadikan Malaysia tempat persembunyian mereka.

Media sebelum ini melaporkan, kira-kira 240 banduan melarikan diri selepas merusuh dan membakar bangunan penjara kerana tidak puas hati dengan keadaan penjara.

Insiden yang berlaku pada 11 Julai itu, telah menyebabkan tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh.

Laporan sebuah akhbar memetik pejabat Kedutaan Malaysia di Indonesia mengesahkan empat rakyat Malaysia antara 2,600 banduan yang berada di penjara itu.