KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 26 pegawai kanan, melibatkan pelbagai jawatan di Bukit Aman dan kontinjen.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata antara pertukaran utama ialah Ketua Polis Perlis DCP Datuk Muhammad Abdul Halim, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Beliau berkata Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman DCP Datuk Mohd Taufik Toh Abdullah pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dengan memangku pangkat CP.
“Pertukaran turut melibatkan Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Datuk Mohamad Farouk Eshak, yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut diumumkan pelantikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Sabah SAC Datuk Mohd Azhar Hamin sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan memangku pangkat DCP.
Mohamad Noor berkata pertukaran turut melibatkan Penolong Pengarah E4A Cawangan Khas Bukit Aman SAC Roslan Alias yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
Beliau berkata SAC Lim San Aik yang kini Ketua JSJ Sarawak, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah, manakala Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kuala Lumpur ACP Kamaruzaman Md Alib, dilantik sebagai Penolong Pengarah E1A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Pertukaran juga melibatkan Pegawai Turus E6A2 Cawangan Khas Bukit Aman ACP Ooi Yueh Kooi yang dilantik sebagai Penolong Pengarah E7A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC, manakala ACP Urus Setia Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang dengan memangku pangkat SAC.
“Penolong Pengarah Narkotik (Risikan) Zon II Cawangan Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ACP Mohd Taufik Maidin, dilantik sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perak dengan memangku pangkat SAC.
“ACP Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Pentadbiran) Bukit Aman ACP Dr Mazlan Ismail pula dilantik sebagai SAC Dasar Strategik Polis DDRM di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC,” katanya.
Mohamad Noor berkata Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Sementara itu, Timbalan Ketua JSJ (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur ACP Zulkarnain Samsudin dilantik sebagai Ketua JSJ Selangor dengan memangku pangkat SAC, manakala Ketua JSJN Kuala Lumpur ACP Haslah Bachok dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Penolong Pengarah (D9) Siasatan JSJ Bukit Aman ACP Mohd Hafiz Ya'acob pula dilantik sebagai Ketua JSJ Sabah, manakala Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan dilantik sebagai Ketua JSJ Sarawak, kedua-duanya memangku pangkat SAC.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam dilantik sebagai Ketua JSJ Kuala Lumpur, manakala Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor ACP Mohammad Hisham Mohamad Idris dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pengurusan Aduan) Bahagian Integriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, kedua-duanya turut memangku pangkat SAC.
Selain itu, Timbalan Ketua Cawangan Khas Pengurusan dan Koordinasi Kelantan ACP Jalaludin Ahamad Zanuddin dilantik sebagai Penolong Pengarah E4A Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Mohamad Noor berkata semua pertukaran berkuat kuasa 1 Sept ini, kecuali melibatkan Muhammad dan Roslan yang berkuat kuasa pada Isnin.
-- BERNAMA