BATU GAJAH: Kerajaan memberi jaminan bahawa tiada pengurangan tenaga kerja berlaku sekiranya lebih banyak monopoli yang wujud di dalam negara dipecahkan.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata isu itu tidak timbul kerana keperluan tenaga kerja di negara ini adalah tinggi.

"Masalah yang saya lihat ialah ada ramai daripada penganggur yang terlalu memilih kerja, itu yang menjadi masalah.

"Jadi kalau kita hendak lihat tentang kekosongan yang wujud, memang banyak jadi proses ini saya rasa tidak akan memberi apa-apa kesan buruk kepada pekerjaan yang ada di negara kita, tidak ada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Iftar 2023 sebanyak RM155,000 kepada 31 masjid dan surau di kawasan Parlimen Batu Gajah di sini pada Sabtu bagi aktiviti bulan Ramadan dan pembangunan rumah ibadat umat Islam itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji semula semua monopoli yang wujud di dalam negara pada masa ini sebagai langkah untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan adil kepada rakyat pada kos yang berpatutan.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan menguraikan lebih banyak monopoli berikutan keputusan kerajaan tidak melanjutkan konsesi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan oleh Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

Sebelum ini, Anwar turut memaklumkan kerajaan akan mempertimbang semula monopoli Touch 'n Go (TNG) dalam pengangkutan dan jalan raya.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah berkata kerajaan juga serius untuk memecahkan monopoli dalam sektor pengambilan pekerja asing ke negara ini supaya tiada pihak yang mengaut keuntungan tinggi daripada keperluan yang dihadapi oleh industri-industri pada masa ini.

"Memanglah kita tidak mahu mana-mana pihak untuk monopoli mana-mana perniagaan kecuali dalam keadaan yang memang tidak boleh dielakkan monopoli itu.

"Kalau boleh kerajaan hendak memastikan adanya satu persaingan yang sihat, kualiti barangan dan juga perkhidmatan itu boleh bertambah baik dan pada masa yang sama kita juga akan membolehkan kos menurun.

"Kalau kita biarkan mana-mana satu pihak untuk terus bermonopoli, maka yang akhirnya menjadi rugi ialah rakyat sebab yang monopoli itu selalunya akan mengaut keuntungan yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA