Kementerian Pengangkutan tidak akan melindungi pegawai atau anggota agensi penguatkuasaannya yang melanggar etika kerja dan disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau memandang serius terhadap kesalahan anggota penguatkuasa kerana mereka seharusnya memahami etika kerja dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.

"Sesiapa yang pernah berhadapan dengan situasi begini (berhadapan gangguan seksual) diharap dapat membuat aduan untuk kita ambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat. Perbuatan seperti itu tidak patut berlaku.

"Kementerian memang tidak akan melindungi atau berkrompromi dengan mereka yang mencemarkan imej agensi penguatkuasa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Amal anjuran syarikat konsesi lebuh raya, Anih Berhad di Hospital Bentong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang tular di media sosial Twitter berhubung seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan gangguan seksual kepada seorang remaja perempuan semasa menjalani ujian memandu baru-baru ini.

Remaja berkenaan mendakwa anggota berkenaan sudah dibuang kerja selepas ayahnya membuat aduan dan perkongsiannya di Twitter menyebabkan beberapa netizen turut berkongsi pengalaman yang sama.

Bagaimanapun, laporan sebuah portal yang memetik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyatakan pegawai berkenaan telah ditukar ke bahagian lain yang tidak melibatkan ujian memandu, sementara siasatan dijalankan.

-- BERNAMA