Seorang pegawai kanan wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang koma sejak Jumaat lalu, selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua rakannya dirempuh tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mangsa, Anisah Ali, 54, meninggal dunia pada pukul 11.15 malam akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus.

"Laporan awal mengatakan mangsa bersama dua rakan sekerja lelaki sedang bertugas dan pada masa sama, sebuah kenderaan dinaiki tonto bertindak menghimpit dan merempuh belakang kenderaan mereka yang menyebabkannya terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian pukul 1.20 pagi Jumaat itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi rumah mangsa di Kampung Pengkalan Kubor, Salor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rahman berkata mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini untuk rawatan lanjut.

Ab Rahman berkata setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kenderaan jenis pacuan empat roda itu dihantar ke Jabatan Forensik untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki mangsa cuba menahan sebuah kenderaan lain dipercayai van yang membawa rokok seludup.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut termasuk mencari anggota sindiket penyeludupan terbabit yang sedang dikenal pasti.

Sementara itu, suami mangsa yang juga Pegawai Kanan Kastam Baharuddin Hamid, 58, berkata beliau yang bertugas di Pulau Pinang bergegas pulang sebaik mendapat tahu kejadian menimpa isterinya.

Beliau berkata jenazah isterinya itu dikebumikan di Kampung Pengkalan Kubor, Salor selepas solat zuhur hari ini. -- BERNAMA