KOTA BHARU: Seorang pegawai Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan mencabul kehormatan rakan sekerja pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 45 itu diarahkan membayar ikat jamin sebanyak RM5,000 selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, bekas Penolong Pengarah Perkhidmatan, Bahagian Perkhidmatan MPKB itu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan wanita terbabit di sebuah pejabat MPKB, kira-kira jam 9.30 pagi pada 12 Oktober 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh melakukan perkara sama di pejabat yang sama kira-kira jam 9.30 pagi pada 26 Oktober 2023.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Fariduddin Mat Noor.

Muhammad Fariduddin memohon mahkamah mengenakan ikat jamin minimum kepada anak guamnya kerana yakin tertuduh tidak akan mengganggu mangsa dan keluarga serta saksi kes.

Peguambela itu turut memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh masih menanggung seorang isteri, dua anak serta ibu bapa yang sudah uzur.

Mahkamah juga diberitahu bahawa tertuduh tidak pernah ada rekod jenayah lampau dan merupakan seorang pekerja yang mempunyai komitmen dan pernah beberapa kali menerima anugerah perkhidmatan cemerlang sepanjang 23 tahun berkhidmat.

Majistret kemudian menetapkan 28 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dikemukakan pendakwa raya. - Sinar Harian