Skip to main content

Malaysia

Singapura henti eksport sisa binaan ke Malaysia serta-merta

FB SWCorp Negeri Johor
Zainal Fitri berkata sebarang aktiviti eksport sisa tersebut perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan dan mendapat kelulusan daripada agensi penguat kuasa berkaitan mengikut peruntukan undang-undang. - Gambar Facebook SWCorp Negeri Johor
Advertisement

JOHOR BAHRU: Aktiviti eksport sisa pembinaan dan perobohan (C&D) oleh Singapura ke Malaysia dihentikan serta-merta susulan isu pelupusan sisa berkenaan di Pontian.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor Zainal Fitri Ahmad berkata perkara itu dimaklumkan Pengarah Kumpulan bagi Sumber dan Kelestarian, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura Chan Chin Kai menerusi panggilan telefon, hari ini.

“Dalam perbincangan tersebut, kita mengemukakan sembilan syarikat yang dikenal pasti terlibat dengan aktiviti terbabit.

“Justeru itu, pihak NEA Singapura memaklumkan penghantaran sisa itu akan dihentikan berkuat kuasa serta-merta dan semakan lanjut akan dilaksanakan terhadap pihak terlibat di negara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Fitri berkata sebarang aktiviti eksport sisa tersebut perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan dan mendapat kelulusan daripada agensi penguat kuasa berkaitan mengikut peruntukan undang-undang.

SWCorp Johor memandang serius risiko pencemaran alam sekitar sekiranya aktiviti berkenaan tidak dibendung termasuk kemungkinan terdapat bahan lain yang dibuang bersama sisa pembinaan dan perobohan tersebut. 

Beliau berkata SWCorp Johor dan NEA Singapura akan terus berkongsi perkembangan terkini hasil siasatan dan tindakan susulan yang dilaksanakan kedua-dua pihak dari semasa ke semasa.

“Kerjasama yang diberikan merupakan satu perkembangan positif dalam usaha menangani isu yang didakwa berlaku sejak hampir dua tahun lepas di kawasan Sungai Karang, Pontian.

“Secara tidak langsung kita dapat memperkukuh usaha pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672],” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata empat kertas siasatan telah dibuka setakat ini di bawah Seksyen 71(1) akta yang sama, selain satu lagi kertas siasatan melibatkan kes pelupusan sisa tempatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement