JUARA welterweight UFC, Islam Makhachev mengakui beliau menghormati Ian Machado Garry, namun kurang senang dengan tindakan pencabar dari Ireland itu yang terlalu kerap bersalaman dan memeluknya ketika pertarungan mereka di UFC 330.
Makhachev mempertahankan gelaran welterweight selepas menewaskan Machado Garry menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision) dalam acara utama UFC 330 di Xfinity Mobile Arena, Philadelphia pada Sabtu.
Pertarungan lima pusingan itu menyaksikan Makhachev terus mengekalkan statusnya sebagai antara petarung terbaik dunia, walaupun Garry berjaya memberi tentangan kompetitif sepanjang 25 minit aksi berkenaan.
Selepas pertarungan, Makhachev berkata beliau menghargai rasa hormat yang ditunjukkan Garry, namun menganggap tindakan itu terlalu kerap dilakukan ketika pertarungan masih berlangsung.
“Sejujurnya, saya tidak faham. Ini pertarungan. Ia bukan sesuatu yang memerlukan kita berpeluk setiap pusingan,” kata Makhachev dalam sidang media selepas UFC 330.
“Kita masuk untuk berperang. Kita cuba mencederakan muka dan badan lawan. Saya hormat semua lawan saya, tetapi mungkin dia masih muda. Dia terlalu menghormati,” katanya.
Garry dilihat beberapa kali cuba bersalaman, memeluk dan menunjukkan isyarat hormat kepada Makhachev semasa antara pusingan serta ketika aksi berlangsung.
Makhachev berkata beliau tetap melihat Garry sebagai seorang petarung yang baik dan beradab, namun menegaskan suasana di dalam Octagon tidak sama seperti latihan atau permainan.
“Saya hormat dia. Dia lelaki yang baik dan sangat baik hati. Tetapi ini perang. Lihat wajah saya. Saya datang untuk menewaskan lawan. Ini bukan permainan,” katanya.
Walaupun kurang senang dengan pendekatan tersebut, Makhachev tetap memberi pujian terhadap persembahan Garry.
Menurut Makhachev, pencabar berusia 28 tahun itu memiliki pertahanan takedown yang baik dan berjaya mengelak daripada berada dalam ancaman submission sepanjang pertarungan.
Garry juga menyukarkan Makhachev kerana lebih banyak menunggu, bergerak dan memilih detik untuk bertahan berbanding terus bertukar serangan secara terbuka.
“Ian ialah lawan yang baik. Sangat sukar melawan seseorang yang hanya berdiri dan menunggu. Dia hanya menunggu dan sangat sukar untuk menunjukkan persembahan baik menentang lawan seperti itu,” kata Makhachev.
Makhachev turut mendakwa beliau menerima beberapa serangan tidak bersih ketika pertarungan, termasuk tandukan pada penghujung pusingan keempat.
Menurutnya, beliau menyedari hidungnya berdarah selepas pertarungan dan percaya kecederaan itu berpunca daripada hentakan kepala ketika mereka bergelut di lantai.
“Dia meninggalkan terlalu banyak kesan calar pada saya. Dia memberi saya tandukan keras pada penghujung pusingan keempat ketika saya menjatuhkannya,” katanya.
Bagaimanapun, Makhachev tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai isu besar dan menganggap pertarungan sukar tersebut sebagai pengalaman yang membantunya berkembang sebagai petarung.
“Tidak mengapa. Pertarungan yang sukar membuatkan anda bertambah baik dan saya rasa saya bertambah baik,” katanya.
Kemenangan ke atas Garry turut mencatat sejarah buat Makhachev apabila beliau memecahkan rekod Anderson Silva dengan 17 kemenangan berturut-turut dalam UFC.
Makhachev sebelum ini mendominasi divisyen lightweight sebelum naik ke welterweight dan muncul juara dua divisyen UFC.
Selepas kejayaan mempertahankan gelaran di UFC 330, Makhachev berkata beliau masih mahu terus memperbaiki diri, termasuk menambah saiz dan kekuatan fizikal untuk bersaing lebih baik dalam kategori 170 paun.
“Saya masih perlu menambah berat badan, cuba menjadi lebih besar dan lebih kuat. Saya ada masa,” katanya.
Makhachev turut menegaskan pertarungan menentang Garry bukan pertarungan paling sukar dalam kariernya, namun tetap menjadi ujian penting dalam proses menyesuaikan diri sebagai juara welterweight.
Buat masa ini, UFC belum mengumumkan lawan seterusnya untuk Makhachev selepas kejayaannya mempertahankan gelaran di Philadelphia.
--Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.