Skip to main content

Malaysia

Pusat Jantung Sabah dijangka siap suku ketiga 2027

FB Dr Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly bergambar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah, Bilangan 1 Tahun 2026. - Gambar Facebook Dr Dzulkefly Ahmad
Advertisement

KOTA KINABALU: Projek pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II di sini dijangka siap pada suku ketiga 2027 dan mula beroperasi dalam tempoh 24 bulan selepas itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan projek baharu di bawah pelaksanaan Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan kos keseluruhan RM125 juta.

Dzulkefly berkata ruang bagi Pusat Jantung Sabah di hospital berkenaan adalah mencukupi dan kos pembinaan itu merangkumi kerja-kerja awalan, menaik taraf bangunan serta penyediaan peralatan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses perolehan bagi kerja ujian bahan yang akan selesai dalam bulan ini dan makmal pengurusan nilai dijangka dapat dilaksanakan pada suku pertama 2027,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah, Bilangan 1 Tahun 2026 bersama-sama Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Dzulkefly berkata projek berkenaan menjadi antara tumpuan Kementerian Ekonomi pada tahun ini dan diberikan sebagai satu keutamaan.

“Harapannya, pada suku ketiga 2027 bangunan siap dibina dan 24 bulan selepas itu, iaitu suku ketiga 2029, insya-Allah Pusat Jantung Sabah akan dapat beroperasi,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement