PUTRAJAYA: Semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

JPA berkata ia bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat serta selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut JPA, peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang.

"Semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 November 2021," menurut JPA dalam kenyataan hari ini.

JPA berkata pegawai yang belum divaksin dalam tempoh ini hendaklah hadir secara walk-in atau jumpa terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh kerajaan.

"Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada ketua jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan," katanya.

JPA berkata sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], kata JPA.

-- BERNAMA