Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,500 pada 2018.

Tertuduh, Asisten Superintendan Mohd Nazli Mohamed, 38, yang bertugas di Jabatan Cawangan Khas, Bahagian Anti Keganasan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu didakwa menerima suapan itu bagi mempercepatkan urusan membawa pulang tahanan yang berada di Syria.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM1,000 dengan tiada balasan daripada Zaid Jusoh melalui akaun bank CIMB miliknya.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat, dia didakwa menerima RM3,000, RM2,000 dan RM2,000 daripada individu sama melalui akaun bank CIMB milik Nurul Natasha Nordin dan pertuduhan kelima pula menerima RM2,500 daripada individu sama melalui akaun Bank Simpanan Nasional juga milik Nurul Natasha.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di daerah Besut sekitar bulan Mei sehingga Disember 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Noriah Osman membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 21 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hayat Muhamad.

-- BERNAMA