Perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan kepada esok.

Mahkamah membuat keputusan itu berikutan seorang peguam daripada pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu terpaksa menjalani ujian saringan COVID-19.

Keputusan ujian saringan berkenaan dijangka diperoleh pada jam 10 pagi Selasa.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah, peguam berkenaan mengalami demam panas dan batuk sebelum mendapatkan rawatan serta pemeriksaan di sebuah klinik pada pagi Isnin.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dengan 26 Feb, 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 28(1) (c) dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.