Skip to main content

Malaysia

Pejabat AI Kebangsaan diinstitusikan secara rasmi mulai 28 Julai - Gobind 

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Pejabat Al Kebangsaan (NAIO) akan diinstitusikan secara rasmi pada 28 Julai, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Gobind berkata, NAIO yang pada masa ini beroperasi di bawah bimbingan MyDIGITAL Corporation, akan diberikan kuasa untuk menyelia dan menyelaras urusan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia apabila proses institusinya dimuktamadkan. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) akan diinstitusikan secara rasmi pada 28 Julai, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata NAIO yang pada masa ini beroperasi di bawah bimbingan MyDIGITAL Corporation, akan diberikan kuasa untuk menyelia dan menyelaras urusan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia apabila proses institusinya dimuktamadkan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan tarikh (28 Julai) untuk melancarkan NAIO (yang diinstitusikan).

“NAIO akan menjadi institusi yang memberi tumpuan kepada dasar, tadbir urus dan ekosistem AI serta membantu individu yang boleh membangunkan AI yang akan memacu visi Negara AI menjelang 2030,” katanya selepas melancarkan Pusat Data Pelbagai Tapak Digital Realty di sini hari ini.

Perdana Menteri melancarkan NAIO pada 12 Dis 2024 sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi peneraju AI dan transformasi digital dalam rantau ASEAN.

Diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 28 Ogos 2024, NAIO adalah inisiatif strategik di bawah Kementerian Digital yang ditubuhkan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju AI di peringkat serantau dan pemacu transformasi digital global.

Mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus AI, Gobind berkata kerajaan masih meneliti aspek peraturan dan tadbir urus ketika merangka rangka kerja itu.

“Pada masa ini, kami mempunyai unit di NAIO yang sedang mempertimbangkan untuk menyediakan rangka kerja itu.

“Kami juga akan menubuhkan pejabat piawaian yang bakal menjadi sebahagian daripada NAIO di Cyberjaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement