KUALA LUMPUR: Presiden Perancis Emmanuel Macron dijangka mengadakan lawatan ke Malaysia pada 16 dan 17 Nov ini, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata hubungan Malaysia-Perancis kini mencapai tahap baharu susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis tahun lepas, yang turut menyaksikan hubungan erat terjalin antara Anwar dengan Macron.
"Datuk Seri Anwar melawat Perancis tahun lepas dan seterusnya menjemput Presiden Macron untuk melawat Malaysia. Macron menerima jemputan itu dalam tempoh yang singkat dan lawatan berkenaan akan berlangsung pada 16 dan 17 Nov ini, mencerminkan hubungan yang semakin erat serta pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara," katanya kepada media pada Malam Gala Malaysia-Perancis 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Perancis (CCIFM) di sini, semalam.
Beliau berkata Malaysia menantikan lawatan Macron yang akan membuka peluang untuk memperkukuh lagi hubungan antara syarikat Malaysia dengan Perancis.
Menurutnya, hubungan dua hala kedua-dua negara berpotensi terus berkembang untuk tempoh yang panjang.
"Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang panjang dengan Perancis. Pada 1700-an, Sultan Terengganu menjemput pedagang dan pelaut Perancis datang ke Malaysia untuk berdagang.
"Hari ini, kira-kira 600 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia, termasuk jenama terkenal seperti L'Oréal, Decathlon, Michelin, TotalEnergies dan BNP Paribas," katanya.
Sementara itu, dalam ucaptama pada majlis berkenaan, Sim berkata rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) kini berada pada peringkat lanjutan.
"Kami baru sahaja menyelesaikan satu rundingan di Brussels pada September lepas.
"Perbincangan masih diteruskan. Baru-baru ini, saya menerima kunjungan delegasi anggota Parlimen Eropah dan kami mengadakan perbincangan lanjut. Ini merupakan tempoh yang amat memberangsangkan bagi Malaysia dan Kesatuan Eropah, khususnya Perancis. Saya fikir usaha ini berada pada landasan dan hala tuju yang betul," katanya.
Pada 13 Okt lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia menyasarkan untuk memeterai MEUFTA menjelang akhir Jun 2027, dengan hampir 80 peratus rundingan telah diselesaikan.
Sementara itu, Duta Perancis ke Malaysia Marc Abensour berkata lawatan Macron ke Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Nov ini merupakan peluang penting untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik.
"Lawatan pertama Presiden Perancis ke Malaysia dalam tempoh hampir sedekad ini akan membolehkan kita membawa hubungan ke tahap seterusnya dan meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, sekali gus menyelaraskan kedudukan Malaysia dengan komitmen utama kami di rantau ini bersama-sama Indonesia, Singapura dan Vietnam.
"Teras hubungan ini ialah perkongsian bagi menjamin kedaulatan. Dalam era perdagangan, tenaga dan teknologi semakin digunakan sebagai senjata, keselamatan ekonomi menjadi keutamaan. Kita perlu memastikan rantaian nilai kritikal terjamin bagi memperkukuh daya tahan bersama," katanya.
Abensour berkata kedua-dua negara turut memperkukuh kerjasama yang telah lama terjalin dalam bidang pertahanan, aeroangkasa, peralihan tenaga, mineral kritikal dan infrastruktur digital, termasuk kabel dasar laut, pusat data serta semikonduktor.
"Hubungan ekonomi kita tidak pernah seerat ini. Perancis kini merupakan pelabur Eropah kedua terbesar di Malaysia, dengan nilai pelaburan negara itu meningkat 190 peratus dalam tempoh sedekad lepas," katanya.
Sempena ulang tahun ke-35 penubuhannya, CCIFM kekal komited membantu syarikat Perancis menubuhkan dan mengembangkan operasi di Malaysia, selain memanfaatkan kedudukan negara ini sebagai pintu masuk strategik ke Asia Tenggara.
Ditubuhkan pada 1991, CCIFM berkembang menjadi platform perniagaan penting yang menghubungkan syarikat Perancis dan Malaysia, menyokong kemasukan ke pasaran, memudah cara pelaburan serta memperkukuh kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Ketika ini, lebih 600 syarikat Perancis beroperasi di Malaysia, menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan industri, teknologi dan ekonomi negara.
Daripada sektor aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju hingga teknologi digital, penjagaan kesihatan serta perkhidmatan profesional, syarikat Perancis terus memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi Malaysia.
Perdagangan dua hala Malaysia-Perancis mencecah RM22.5 bilion pada 2025.
-- BERNAMA