ALOR SETAR: Selepas terbengkalai selama 12 tahun, Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis di Bukit Chabang, Padang Besar dijangka mula beroperasi pada Jun 2027 dengan pengambilan awal 75 pelajar tingkatan satu.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kumpulan perintis itu terdiri daripada 52 pelajar lelaki dan 23 perempuan, yang akan mengikuti latihan dalam enam jenis sukan, iaitu badminton, bola jaring, bola sepak, memanah, olahraga dan sepak takraw.
Beliau berkata projek yang terbengkalai sejak 2013 itu dijangka siap tahun ini selepas diambil alih oleh syarikat milik kerajaan pada April tahun lepas atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Selepas terbengkalai selama 12 tahun sejak 2013, projek ini akhirnya berjaya diselesaikan oleh Kerajaan MADANI dalam tempoh kurang dua tahun.
“SSM Perlis akan menjadi pusat kecemerlangan sukan bagi zon utara, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai anak muda dari Perlis dan negeri-negeri sekitarnya untuk menggilap bakat dalam persekitaran pendidikan dan latihan yang lebih sistematik,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Mohammed Taufiq berkata pengoperasian sekolah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penempatan pentadbir dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) pada Jan 2027, diikuti guru serta jurulatih pada Mac tahun sama.
Sesi pengenalpastian bakat (TID) dijadualkan pada April 2027 bagi memastikan pengambilan murid yang mempunyai potensi dalam bidang sukan ditawarkan.
Sebanyak 15 guru, 15 jurulatih dan 11 AKP akan ditempatkan bagi memastikan pembangunan murid merangkumi aspek akademik, kecemerlangan sukan, sahsiah dan kesejahteraan.
Beliau berkata pelaksanaan Fasa 2 dengan peruntukan RM104 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan memperluas kapasiti sekolah serta menambah cabang sukan yang ditawarkan.
Menteri itu berkata kejayaan Perlis meraih 17 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 membuktikan potensi atlet di utara tanah air, yang memerlukan sokongan prasarana dan pembangunan lebih tersusun.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan serta persatuan sukan bagi memperkukuh laluan pembangunan atlet dari peringkat sekolah sehingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Mohammed Taufiq turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan atas usaha memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.
-- BERNAMA