Pejabat Mufti Kelantan merancang untuk membina balai pencerapan di negeri ini bagi memberi peluang kepada umat Islam mempelajari ilmu astronomi khususnya ilmu falak.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata pelan mengenainya sudah siap dirangka dengan Pantai Mek Mas, Kuala Besar di Kota Baharu akan menjadi lokasi bagi pembinaan balai pencerapan tersebut.

"Peruntukan awal dianggarkan berjumlah RM5 hingga RM6 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka dapat dijalankan pada tahun depan," katanya ketika berucap merasmikan peletakan batu asas pembinaan Masjid Al-Taqwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa di sini, Ahad.

Hadir sama anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkifli Ali. Mohamad Shukri berkata balai pencerapan itu akan dilengkapi dengan pelbagai bahan menarik berkaitan astronomi dan dibuka secara percuma kepada pengunjung.

Sementara itu, pada sidang media beliau berkata Pejabat Mufti Kelantan akan mewartakan pengharaman vape atau rokok elektronik secepat mungkin selepas diteliti oleh penasihat undang-undang.

Beliau berkata, pewartaan itu selaras dengan pengharaman diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 Dis lepas.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan segelintir pihak yang tidak menyenangi perpaduan umat Islam di negara ini.

Katanya umat Islam di negara ini perlu belajar daripada pergolakan di Timur Tengah yang memaksa sebilangan besar penduduknya mencari perlindungan di negara bukan Islam.

"Jika ada pihak sanggup melupakan kepentingan peribadi dan puak demi kepentingan Islam, saya tidak syak lagi kita boleh bersatu," katanya.