KUALA LUMPUR:Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak kepada pejuang-pejuang kanser, antaranya yang melibatkan aspek sosial.

Selain itu, Pakar Psikiatri, Hospital Putrajaya, Dr. Siti Halimatul Saadiah Hassan berkata, pesakit turut  berdepan kesan biologi, psikologi serta rohani.

"Dari segi biologi kita mahu pastikan semua pejuang kanser di luar sana untuk mengesahkan janji temu (dengan doktor). Jika anda tidak boleh menghadiri janji temu tersebut, dapatkan prosedur untuk menukar (tarikh janji temu) dan pastikan anda mempunyai ubat yang mencukupi.

"Penting untuk bertanya kepada doktor, kalau anda tidak mempunyai pengangkutan, dan tiada duit, apa boleh buat. Adakah terdapat bekalan ubat atau lawatan ke rumah? Namun, itu bergantung kepada zon dan keadaan kakitangan serta pesakit.

"Dari segi psikologi, mereka rasa sedih, risau, dan perasaan bercampur-baur berikutan pelaksanaan PKP dan masalah sosial," katanya dalam diskusi webinar AWANI bertajuk Lawan Kanser Payudara Kala Pandemik: Apa Yang Anda Perlu Tahu!, pada Rabu.


Diskusi yang dikendalikan oleh Editor Astro AWANI, Jasmine Abu Bakar itu turut disertai Pengurus Besar & Pengarah Perubatan, National Cancer Society Malaysia, Dr. Murallitharan M; Timbalan Pengurus Besar, Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Vemanna Appanah; serta pejuang kanser payudara, Siti Nor Hafiza Kamarudin.

Sementara itu, Vemanna berkata sekurang-kurangnya 5,000 kes melibatkan pejuang kanser dilaporkan memerlukan bantuan kewangan dan bekalan asas berikutan terjejas akibat COVID-19.

BACA: Ini kisah pejuang kanser payudara tahap tiga

Jelas beliau, jumlah tersebut diterima oleh pihaknya sejak April lalu sehingga sekarang.

"Kita memang mendapat rujukan daripada lebih 90 hospital di negara ini dan lebih kurang 5,000 kes yang datang kepada kita (memerlukan bantuan), dan kita membantu mereka.

"Jadi, ketika pandemik kami mengambil langkah tambahan dengan menghubungi pesakit-pesakit dan bertanya khabar mereka - bagaimana keadaan kewangan.

"Apabila kami mendapat maklum balas sejak dari April sehingga hari ini, setiap bulan kami memberikan bantuan kewangan kepada pesakit-pesakit ini dan membekalkan makanan kepada mereka," katanya.

Katanya, bantuan yang disalurkan dengan kerjasama agensi berkaitan sedikit sebanyak dapat meringankan beban khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).