MALAYSIA
Pekan Rabu perlu pelbagaikan perniagaan - Tun Mahathir

Dr Mahathir mencuba 'Songkok Style Tun' di kedai Sardi Dahar (dua, kiri) ketika mengunjungi Pekan Rabu Alor Setar hari ini. - BERNAMA
"Ramai peniaga tapi jual barang yang sama."
Itu komen Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setelah menghabiskan hampir sejam setengah mengunjungi Kompleks Pekan Rabu yang baru dirasmikan bulan lepas.
"Saya nampak makin ramai peniaga tapi masalahnya ialah jual barang yang sama...kita masuk satu kedai, boleh beli semua, lain kedai tak payah pi (pergi) dah," katanya ringkas kepada pemberita selepas melakukan lawatan tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditanya cadangan bagi menambah baik perkara itu, beliau hanya menjawab: "Tak ada cadangan, saya nak fikir, kalau ada idea baharu," katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir meluangkan masa melawat beberapa lot gerai dan membeli beberapa kelengkapan seperti songkok, kopiah, sejadah dan kuih raya.
Menjadi tumpuan beliau pastinya gerai yang menjual 'Songkok Style Tun' yang menjadi kegemarannya dan dipakai sejak sekian lama.

Orang ramai mengerumuni Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau mengunjungi Pekan Rabu Alor Setar hari ini. - BERNAMA
Kehadiran beliau yang diketahui umum suka mengunjungi Pekan Rabu setiap kali bulan Ramadan itu mencuri tumpuan ramai pengunjung yang teruja melihat kehadiran beliau dengan tidak melepaskan peluang mengambil swafoto bersama.Kompleks Pekan Rabu baharu dengan 355 ruang niaga bernilai RM55.57 juta yang dibina di atas tapak seluas 5,062 meter persegi siap pada 15 Jan lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami