Skip to main content

Malaysia

Sindiket potong minyak masak peket, dijual sebagai minyak terpakai tumpas

Minyak masak berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.50 sekilogram dan dikumpulkan sebelum dijual semula kepada pihak industri minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.60 hingga RM4 sekilogram. -Gambar hiasan
Minyak masak berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.50 sekilogram dan dikumpulkan sebelum dijual semula kepada pihak industri minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.60 hingga RM4 sekilogram. -Gambar hiasan

Ringkasan AI

  • KPDN Perak menyerbu stor di Kamunting, Taiping dan membongkar sindiket menjual semula minyak masak bersubsidi sebagai minyak terpakai dengan harga lebih tinggi.
  • Rampasan melibatkan minyak masak peket 1 kg bernilai lebih RM80,600 dan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang gagal mengemukakan dokumen kebenaran.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 selepas sitaan pelbagai barangan berkaitan aktiviti tersebut.
Advertisement

IPOH: Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak ke atas sebuah stor penyimpanan di Kamunting, Taiping membawa kepada pembongkaran sindiket memotong peket minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) dan dijual semula sebagai minyak terpakai dengan harga lebih tinggi.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Taiping ke stor berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari tadi membawa kepada rampasan minyak masak peket 1 kg bernilai lebih RM80,600 kerana dipercayai menyimpan barang kawalan itu tanpa kebenaran.

"Serbuan tersebut dijalankan hasil risikan selama seminggu terhadap aktiviti penyimpanan minyak masak peket 1 kg yang disyaki diperoleh daripada syarikat pembungkus dan pemborong minyak masak sekitar Perak.

Advertisement

"Minyak masak berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.50 sekilogram dan dikumpulkan sebelum dijual semula kepada pihak industri minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.60 hingga RM4 sekg," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis. 

Advertisement

Kamalludin berkata lelaki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan berkaitan barang kawalan.

Beliau berkata turut disita sebuah Toyota Hilux, 112 kotak minyak masak peket 1 kg seberat 2,240 kg, 10 tong dram plastik berkapasiti 200 liter yang mengandungi minyak masak dengan anggaran berat keseluruhan 2,000 kg dan 2,000 unit plastik minyak masak yang telah digunting serta beberapa barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti tersebut.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement