KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis memberi jaminan akan terus memantau kebajikan dan perkembangan pemulihan atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Pengarah MSN Perlis, Syed Ahmed Najib Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya inisiatif kebajikan yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan atlet berkenaan mendapat bantuan sewajarnya.
Menurutnya, tindakan pantas dan keprihatinan semua pihak dalam menyediakan perlindungan menyeluruh amat dihargai, terutama ketika Hafizuddin dan keluarganya berdepan ujian berkenaan.
"Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama KBS, Majlis Sukan Negara, Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) serta Skim Lindung 24 Jam PERKESO.
"Antara bantuan disediakan termasuk pengekalan elaun latihan, pembiayaan penuh kos rawatan, manfaat insurans, pampasan pukal dan pencen ilat seumur hidup. Selain itu, kebajikan keluarga Hafizuddin turut diberi perhatian menerusi penyediaan kemudahan penginapan dan makan sepanjang berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL)." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Ahmed Najib berkata, MSN Perlis juga sedang menyelaras gerak kerja bersama Majlis Sukan Negara dan Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis bagi memantau rapat perkembangan pemulihan atlet itu.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan Hafizuddin menerima bantuan terbaik sepanjang menjalani rawatan, termasuk sokongan psikososial dan program rehabilitasi jangka panjang.
"MSN Perlis turut memberi perhatian kepada perancangan laluan kerjaya baharu buat atlet berkenaan selepas pulih kelak bagi memastikan kebajikannya terus terpelihara.Hafizuddin disifatkan sebagai antara permata sukan Perlis, manakala semangat juangnya menjadi inspirasi kepada warga sukan dan masyarakat negeri itu.
"Seluruh warga kerja MSN Perlis dan rakyat negeri itu turut mendoakan agar Hafizuddin diberikan kekuatan serta kesembuhan segera," jelasnya.
Tangan kanan Muhammad Hafizuddin terpaksa dipotong atas saranan doktor bagi menyelamatkan nyawanya susulan kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya.
Hafizuddin dipercayai terbabas ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengakibatkan kecederaan pada bahagian kaki, bahu dan kepala baru-baru ini.