NATIONAL
Pekerja aksesori kereta diburu polis 12 tahun lepas didakwa di mahkamah

Mengikut pertuduhan, tertuduh (tengah) bersama-bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth, pada 24 Januari 2013.
BUTTERWORTH: Seorang pekerja aksesori kereta yang menjadi buruan polis sejak 12 tahun lepas akhirnya didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki.
Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Tiada pengakuan direkodkan tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama-bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua, jam 5.25 pagi pada 24 Januari 2013.Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selain memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh susulan pendakwaan terhadapnya membabitkan kes lama dan tertuduh baru ditangkap.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 23 Julai depan.
Media pada 24 Januari 2013 melaporkan seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer' maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni, di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mangsa seorang lelaki tempatan ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu bermula dengan perbincangan berhubung perniagaan antara mangsa dan beberapa lelaki berkenaan sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan apabila gagal mencapai kata sepakat.
Siasatan juga mendapati salah seorang daripada mereka yang berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah perancang utama kejadian berkenaan dan polis turut menemui kelongsong peluru di tempat kejadian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami