TEMERLOH: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu menyamar dan mengemukakan dokumen palsu bagi pembelian sebuah motosikal, Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Herman Yusof, 30, yang juga pekerja sebuah kilang membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Tan Chiew King.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan menipu dengan jalan samaran dengan menggunakan identiti Faisal Hanif Rusli untuk membeli sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu iaitu kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli atas kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 23 Ogos 2022 sekitar pukul 1.20 petang di sebuah kedai di Pusat Perniagaan Chengal, Temerloh.

Bagi kedua-dua kertas pertuduhan ini, Majistret menetapkan wang jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap Isnin pertama setiap bulan.

Sementara itu, seorang lagi pekerja kilang, Hermawati Arif, 29 turut didakwa telah bersuhabat membantu Herman untuk mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Faisal Hanif Rusli atas kesalahan di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh di hukum di bawah seksyen yang sama.

Kesalahan dilakukan di antara bulan Januari hingga Disember 2017 di sebuah kilang kayu getah di Mentakab.

Bagaimanapun, Hermawati mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca juru bahasa, dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan denda.

Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.

Majistret telah menetapkan 22 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.