SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang maut selepas dipercayai terjatuh di dalam mesin pembancuh simen di tempat kerjanya, di Seksyen 35, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.44 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terjumpa satu mayat lelaki terapung dalam tangki berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati tangan sebelah kanan dari paras siku dan kepalanya terputus.

“Pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Forensik Selangor juga mendapati tiada kesan pergelutan dan lain-lain kecederaan pada tubuh yang boleh menyebabkan kematian mangsa.

“Mangsa dipercayai terjatuh sendiri ke dalam tangki bancuhan simen dan terkena bilah pembancuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Iqbal memberitahu, identiti mangsa yang berusia 50-an itu dikenal pasti waris melalui pengecaman tatu pada lengan sebelah kiri.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai sebagai kematian mengejut (SDR).

Sehubungan itu, beliau  meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Bakhri di talian 012-3630512 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mayat lelaki berjaya dikeluarkan dari dasar tangki berkeluasan tiga meter tersebut pada pukul 4 petang.

Katanya, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Andalas bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.