BANGI: Pengurusan tempat kerja perlu kerap mengadakan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sebagai aktiviti tahunan organisasi.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pekerja dan majikan harus sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja.

Jelasnya, usaha itu mampu menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di Malaysia.

“Di peringkat tempat kerja, budaya KKP yang kukuh ialah budaya di mana hak untuk mendapatkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dihargai dan digalakkan oleh pihak pengurusan dan pekerja.

“Budaya KKP yang positif dibina atas penyertaan dan penglibatan semua pihak dalam peningkatan berterusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Di tempat kerja yang mempunyai budaya KKP yang kukuh, pekerja berasa selesa untuk mengemukakan kebimbangan tentang kemungkinan risiko atau bahaya di tempat kerja,” katanya.

Tambah beliau, selepas menerima aduan daripada pekerja, pihak pengurusan perlu proaktif dalam bekerjasama dengan pekerja untuk mencari penyelesaian yang sesuai, berkesan dan mampan.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja 2022 peringkat Niosh, di Menara NIOSH, di sini pada Khamis.

Katanya lagi, inisiatif NIOSH selaras dengan tema Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2022, iaitu 'Mari bertindak bersama untuk membina budaya keselamatan dan kesihatan yang positif'.

"Sambutan pada 28 April setiap tahun ini bagi mengenang kembali pekerja yang menjadi mangsa kemalangan dan penyakit di tempat kerja, selain bertujuan mempromosi budaya pencegahan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.

"Malaysia adalah salah satu negara yang menganggotai Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jadi kita tidak lepaskan peluang untuk bersama-sama raikan sambutan ini sejak 2006 lagi," ujarnya.

Berdasarkan laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), setakat Mac 2022, sebanyak 1703 kes kemalangan pekerjaan mengikut sektor dilaporkan dengan sektor pengilangan mencatat jumlah tertinggi 1,122 kes.