SEREMBAN: Seorang pekerja penyelenggaraan menara pencawang telekomunikasi maut selepas tidak sedarkan diri ketika berada di atas pencawang di Jalan Jelai-Pasir Besar, Tampin di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian membabitkan lelaki berusia 31 tahun itu kira-kira 5.15 petang.

Beliau berkata berdasarkan maklumat di lokasi, polis dan bomba mendapati lelaki terbabit berada pada paras ketinggian 60 meter di atas pencawang itu.

"Pihak bomba berusaha menyelamatkan mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan dan mangsa berjaya dibawa turun pada 9.20 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jelai.

"Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja penyelenggaraan pencawang bersama rakan sekerjanya dan dia telah memanjat pencawang seorang diri manakala rakannya berada di bawah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amiruddien berkata mangsa sebelum itu memaklumkan kepada rakannya bahawa dia penat dan berasa kebas di tangan serta tidak larat untuk turun dari pencawang terbabit.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam perkembangan berasingan, seorang operator kilang maut apabila motosikal yang ditunggangi hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta kira-kira 7.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata akibat kemalangan, lelaki berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Port Dickson.

"Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 45 tahun bersama seorang penumpang wanita berusia 42 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Insp Norraini menerusi talian 012-7082321 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson 06-6472222 untuk membantu siasatan.

-- BERNAMA