KUCHING: Penubuhan Pemodalan Satok Berhad bagi membangunkan Satok, sebuah kawasan perkampungan Melayu dalam bandar raya ini, dapat menjadi contoh dalam mengekalkan pegangan hartanah orang Melayu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan syarikat amanah pembangunan hartanah itu membolehkan masyarakat Melayu di kawasan itu melabur dalam bentuk unit amanah pelaburan hartanah (REIT).

"Sudah tentu ia (pelaburan ini) boleh berkembang dan kita mempertahankan kawasan-kawasan orang Melayu supaya ia menjadi satu pendekatan untuk kita menjaga (kepentingan) komersial dan pegangan masyarakat Melayu, di samping bekerjasama dengan masyarakat lain dalam dunia perniagaan," katanya.

Berucap merasmikan bangunan HIKMAH Exchange di Jalan Haji Taha di sini malam Sabtu, Abang Johari berkata kaedah ini boleh digunakan untuk pembangunan seperti di Kampung Baru di Kuala Lumpur dan beliau bersedia untuk berkongsi pendekatan ini.

"Ini adalah yang pertama kita mempunyai pengurusan (seperti) ini dan saya ingin kongsikannya termasuk dengan mereka yang mahu membangunkan Kampung Baru di Kuala Lumpur. Mereka boleh datang ke Kuching untuk belajar daripada kami bagaimana kami membangunkan tanah asal orang Melayu," katanya.

Abang Johari berkata masyarakat Bumiputera lain juga boleh menggunakan model pelaburan hartanah itu untuk mengembangkan ekonomi masyarakat mereka bersama-sama dengan kaum lain dalam mengurus dan mentadbirkan hartanah secara berterusan.

Katanya kejayaan membangunkan bangunan HIKMAH Exchange itu juga menjadi titik penting dalam mempertahankan hartanah milik masyarakat Melayu di bandar yang semakin berkurangan akibat hakisan pemilikan ekoran kepesatan pembangunan yang berlaku sejak beberapa tahun lepas.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan lembaga pengarah Sekolah Menengah Chung Hua No 4 bersetuju menyerahkan kembali tapak sekolah itu, yang terletak dalam kawasan Satok, kepada kerajaan Sarawak setelah mendapat tapak baharu di lokasi yang lebih sesuai.

Menurutnya tapak sekolah yang sedia ada ini akan dijadikan kawasan warisan kerana sebuah rumah yang pernah dimiliki Datuk Patinggi Abang Abdillah, seorang pejuang kemerdekaan Sarawak, juga terletak di situ.

"Kawasan tersebut akan menjadi kawasan warisan yang bersejarah dan telah diberi balik kepada kerajaan. Ia akan menjadi pusat untuk kita sama-sama memperingati perjuangan memerdekakan Sarawak dalam Malaysia," katanya.

-- BERNAMA