KUALA LUMPUR: Pelaburan tunggal terbesar Microsoft sebanyak AS$2.2 bilion (AS$1=RM4.73) dalam tempoh empat tahun akan datang mencerminkan keyakinannya terhadap potensi digital Malaysia dan merupakan kejayaan untuk kerjasama berterusan dalam memacu ekonomi digital negara.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkata Microsoft telah memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif kerjasama, termasuk pembangunan bakat, sokongan kepada syarikat pemula niaga dan penggunaan digital untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana sebagai rakan kongsi MDEC yang telah lama wujud sejak 1998.

"Pelaburan ini mengesahkan komitmen Microsoft terhadap pertumbuhan digital Malaysia dan menunjukkan kekuatan kerjasama itu," katanya.

Katanya pelaburan Microsoft di Malaysia, dimudahcarakan oleh MDEC, yang termasuk mewujudkan perkhidmatan perniagaan global dan pembangunan pusat data di lokasi strategik di seluruh negara.

Microsoft juga telah menjadi rakan kongsi utama dalam agenda pendigitalan sektor awam, telah menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Awan dengan kerajaan pada 2022, katanya.

"Kementerian turut menyambut baik kerjasama antara Microsoft dan kerajaan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan AI Nasional dan meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

"Dengan agensi digital di bawah bidang kuasa kementerian termasuk MDEC dan Cyber Security Malaysia (CSM), kerjasama ini akan memacu kemajuan seterusnya dalam bidang kritikal ini," katanya.

Selain itu, katanya sokongan Microsoft telah memainkan peranan penting dalam usaha MDEC untuk membina bakat teknologi digital yang kukuh daripada sekolah hingga institusi pengajian tinggi serta melatih semula dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang.

Kerjasama ini telah membawa kepada wujudnya rangkaian Institusi Teknologi Digital Premier, terdiri daripada 42 fakulti berkaitan teknologi di 24 institusi pengajian tinggi di seluruh negara dan telah membentuk kumpulan syarikat tempatan tersedia AI dalam ekosistem MDEC.

"Kementerian berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Microsoft dan peneraju industri lain untuk memacu inovasi, menggalakkan pembangunan bakat digital dan memacu perjalanan Malaysia ke arah menjadi hab digital global," katanya.

-- BERNAMA