Ringkasan AI
- Google melabur AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia, mencerminkan keyakinan terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi negara.
- Pelaburan ini dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada KDNK dan menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun semasa fasa pembinaan.
- Google berpuas hati dengan disiplin dan kelayakan tenaga kerja tempatan, namun latihan lanjut dalam bidang teknologi baharu termasuk AI masih diperlukan.
AYER KEROH: Keputusan Google melabur sebanyak AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia mencerminkan keyakinan syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat (AS) itu terhadap kestabilan politik dan kejelasan dasar ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan pelaburan berkenaan sebagai satu hadiah besar buat Malaysia, yang disokong hala tuju pembangunan perindustrian negara.
Menteri Kewangan itu berkata, Google memuktamadkan untuk memilih negara ini sebagai destinasi pelaburannya selepas menilai beberapa negara termasuk di rantau ASEAN.
“Saya menghubungi Ruth Porat dan, selain berbincang dengannya, turut berkomunikasi melalui WhatsApp.
“Saya meminta beliau bercakap secara terus terang dengan saya tanpa perlu terikat dengan protokol. Beritahu secara terus apakah kekuatan dan kelemahan Malaysia.
“Antara kekuatan Malaysia ialah negara ini mempunyai kestabilan politik. Tidak kucar-kacir. Memang ada sedikit rungutan, tetapi itu perkara biasa.
“Pilihan raya kecil, sama ada menang atau kalah, itu perkara biasa dan tidak menjadi masalah.
"Beliau turut menyatakan Malaysia stabil, tiada rusuhan dan tiada pertukaran kerajaan secara kerap seperti sebelum ini apabila ada tiga hingga empat Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun. Jadi, keadaan itu memberikan ketenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, di sini pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Anwar menambah, pelaksanaan dasar yang cekap tanpa kelewatan oleh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Menurutnya, Google turut berpuas hati dengan disiplin, komitmen dan kelayakan tenaga kerja tempatan.
Bagaimanapun, Anwar berkata masih terdapat ruang untuk meningkatkan latihan serta pengkhususan dalam bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Dia kata tenaga kerja kita sangat membanggakan, berdisiplin, rajin dan berkelayakan.
“Tetapi mereka memerlukan latihan lanjut untuk memastikan tahap pengkhususan dan kepakaran dapat dipertingkatkan,” ujar Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Anwar turut meminta institusi pengajian tinggi dan tenaga pengajar supaya segera menyesuaikan kurikulum serta memperluas bidang pengkhususan bagi memenuhi keperluan industri teknologi yang semakin berkembang.
Beliau turut mendedahkan Nvidia memerlukan kira-kira 3,000 jurutera dengan kemahiran tambahan termasuk bidang AI.
Pada Rabu, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet, Ruth Porat, mengumumkan pelaburan tersebut dalam program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaysia (UM) di hadapan Perdana Menteri.
Pelaburan itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang fasa pembinaan pada 2027 hingga 2028.
Porat berkata antara projek utama Google ialah pembangunan kampus pusat data cekap tenaga di zon perindustrian, dengan kampus baharu dirancang di Selangor dan Negeri Sembilan.
Fasa pembinaan dijangka menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun, dengan menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.54 bilion).