NATIONAL
Pelajar antarabangsa UIAM sambut Aidilfitri, kukuh ukhuwah sesama Islam

UIAM meriahkan Aidilfitri dengan 500 pelajar antarabangsa, menjalin ukhwah dan memperkukuh hubungan sesama Islam di kampus.
GOMBAK : Suasana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Isnin meriah dengan sambutan Aidilfitri dengan penglibatan kira-kira 500 penuntut antarabangsa, sekali gus menjadi medan menjalinkan ukhuwah dan memperkukuh hubungan sesama Islam.
Pada majlis berkenaan, lebih 100 negara pelajar antarabangsa yang tidak berkesempatan pulang ke tanah air masing-masing dapat merasai kelainan, khususnya dalam cara perayaan itu disambut.
Penuntut jurusan sains politik, Yusuf Hassan menyifatkan sambutan yang dianjurkan pihak universiti memberikannya satu pengalaman baharu.
“Saya rasa sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia adalah pengalaman yang sangat indah dan menakjubkan kerana suasana yang meriah, rumah terbuka di mana-mana, perasaan semasa solat Aidilfitri, masjid di setiap tempat, dengan pelbagai bangsa dan budaya yang berbeza.“Cuma berbezanya bagi saya, sambutan di sini (Malaysia) lebih meriah yang disambut dalam skala yang lebih besar berbanding di negara saya," katanya.
Manakala Roshdi Pantaran, yang berasal dari Filipina berkata, penganjuran majlis itu mampu memupuk perpaduan yang dirasainya dalam kalangan pelajar universiti tersebut yang datang dari pelbagai latar belakang.
“Ya, salah satu perkara yang saya sangat suka di sini adalah orangnya sangat mesra. Selain itu, mereka juga memperkenalkan kepada kita pelbagai budaya yang sebelum ini tidak kita ketahui,
“Walaupun di sini kami semua menyambut tanpa keluarga masing-masing, tetapi saya dapat rasakan kemeriahannya dengan kawan-kawan lain," katanya.
Sementara itu seorang lagi penuntut, Naima Ahmed berkata, sambutan kali ini memberi sedikit kelainan terhadap dirinya kerana tidak menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.
Namun ia merupakan perubahan yang agak berbeza apabila kita menyambutnya bersama rakan-rakan.
“Saya rasa hari raya biasanya adalah sesuatu yang kita sambut bersama keluarga. Namun, ia merupakan perubahan yang agak berbeza apabila kita menyambutnya bersama rakan-rakan.
“Tetapi saya rasa kita dapat menemui kegembiraan yang berbeza dalam perayaan itu, sekali gus meraikan tahun-tahun yang kita lalui bersama semasa belajar di universiti," katanya.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Professor Datuk Mohamad Fauzan Noordin, serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (STADD).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami