Pelajar baharu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti serta institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) adalah antara lima kategori pelajar berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat.

Menerusi kenyataan pada Rabu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata pelajar yang bakal menjalani sesi akademik 2020/2021 itu dibenarkan untuk menjalani aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bermula seawal 1 Julai depan.

KPT, bagaimanapun, berkata proses itu akan dilakukan secara berperingkat dan tetap tertakluk kepada tarikh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"KPT membenarkan pelajar baharu bagi sesi akademik 2020/2021 di semua universiti awam, IPTS, politeknik dan kolej komuniti bagi kemasukan ke peringkat sijil, asasi dan diploma untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Kemasukan pelajar peringkat sijil dan diploma ke politeknik serta kolej komuniti adalah seawal 1 Julai dan diikuti kemasukan pelajar asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda ke IPTS seawal tarikh sama.

Selain itu, ia juga membabitkan pelajar yang terlibat dengan kemasukan ke peringkat ijazah sarjana muda bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.

“Selepas itu, kemasukan pelajar asasi dan diploma di universiti awam seawal 1 Ogos.

“Kemudian, kemasukan pelajar ijazah sarjana muda dan pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan IPTS pula seawal 1 Oktober,” kata kementerian berkenaan.

KPT memaklumkan perkara demikian selepas mendapat kelulusan dari Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 16 Mei lalu berhubung pengendalian aktiviti akademik di kampus IPT semasa dan pasca PKP.

KPT berkata, pelajar selain dari kategori pengecualian itu perlu menjalani aktiviti PdP secara dalam talian sehingga hujung tahun ini dan tidak dibenarkan secara bersemuka.

BACA: Tiada aktiviti PdP bersemuka di kampus hingga 31 Disember kecuali 5 kategori pelajar - KPT