Skip to main content

Malaysia

Pelajar dirempuh guru: Zara perlu jalani rawatan hospital dalam tempoh lebih lama

Pelajar Tingkatan Satu yang menjadi mangsa kedua insiden dirempuh kereta di sekolah dijangka perlu menjalani rawatan hospital dalam tempoh agak lama bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya. Gambar kecil:Mohd Azman
Pelajar Tingkatan Satu yang menjadi mangsa kedua insiden dirempuh kereta di sekolah dijangka perlu jalani rawatan hospital dalam tempoh agak lama bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya. Gambar kecil: Mohd Azman. - Foto Sinar Harian

KOTA BHARU: Pelajar Tingkatan Satu yang menjadi mangsa kedua insiden dirempuh kereta di hadapan Surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada 12 April lalu dijangka perlu menjalani rawatan hospital dalam tempoh agak lama bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya.

Mangsa, Zara Aftar Zamzuri, 13, bukan sahaja masih dalam pemantauan rapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), malah dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan melibatkan prosedur tampalan kulit pada bahagian cuping telinga pada Isnin ini.

Advertisement

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, tempoh rawatan yang panjang diperlukan bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman, terutama melibatkan luka serius di bahagian muka dan telinga.

Menurut beliau, kecederaan pada telinga mangsa agak teruk apabila cuping telinganya koyak serta tercemar dengan kotoran jalan dan tar ketika kejadian.

“Sebelum ini, mangsa telah menjalani pembedahan bagi merawat patah tulang kaki serta membersihkan luka di muka dan telinga.

“Prosedur pertama melibatkan pembersihan menyeluruh untuk membuang kotoran dan tisu rosak sebelum rawatan lanjut dapat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, selepas keadaan luka menunjukkan perkembangan positif dan pertumbuhan tisu baharu berlaku dengan baik, barulah pasukan perubatan merancang untuk melakukan prosedur grafting atau tampalan pada bahagian telinga.

“Alhamdulillah, pembedahan terdahulu berjalan lancar dan mangsa kini ditempatkan di Wad 10 iaitu wad kelas pertama di HRPZ II,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, semalam.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman berkata, selain rawatan fizikal, aspek emosi mangsa turut diberi perhatian susulan trauma yang dialaminya.

Menurut beliau, pasukan perubatan telah memulakan Psychological First Aid (PFA) atau Bantuan Awal Psikologi kepada mangsa serta ahli keluarganya secara berperingkat.

“Pakar psikiatri kanak-kanak juga terlibat bagi memastikan emosi beliau kembali stabil selepas kejadian yang berlaku secara tiba-tiba,” katanya. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video