KUALA LUMPUR: Pelajar sebuah sekolah menengah pada Jumaat hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes fitnah terhadap seorang guru dan Institusi Perguruan di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa'aton Abu Bakar berkata pelajar berkenaan hadir kira-kira 5.30 petang bersama bapanya, dan memberi keterangan kira-kira sejam.

Beliau berkata siasatan itu dibuat susulan laporan yang diterima pihaknya pada 5 Mei lepas daripada seorang guru lelaki ekoran dakwaan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru serta Institusi Perguruan di Malaysia.

"Ia didakwa berlaku semasa wawancara di media sosial Utusan Online pada 30 April berkenaan isu guru Pendidikan Jasmani yang menyebut tentang elemen rogol, semasa proses pembelajaran di dalam kelas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

BACA: Gurauan keterlaluan: Pelajar dan bapa dipanggil beri keterangan

BACA: Ain Husniza terima notis tuntutan 'fitnah' RM1 juta

Beliau berkata pelajar perempuan itu dipanggil untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkenaan aduan terhadap laporan polis yang dibuat oleh pihak pengadu, dan kedua-dua individu hadir dengan ditemani peguam Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian.

-- BERNAMA