KOTA BHARU: Seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) berdepan detik cemas selepas ditumbuk dan ditendang kenalan lelakinya sehingga mengalami kecederaan dalam kejadian pada Selasa.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang berusia 20 tahun ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan selain telefon bimbit serta wang tunai miliknya dirampas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar dari rumahnya di Pasir Mas bersama kenalannya itu untuk makan malam di Kota Bharu pada jam 9 malam.

"Setelah selesai makan, mangsa diajak oleh suspek untuk menemaninya berjumpa kawan lelaki di sebuah hotel di Kota Bharu.

"Semasa berada di hotel tersebut, suspek bersama kawan lelakinya telah mengajak mangsa ke sebuah bilik penginapan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Menurutnya, takut dan curiga dengan tindakan itu mangsa meminta suspek menghantarnya pulang.

Tambah beliau, dalam perjalanan pulang berlaku pertengkaran di antara mereka menyebabkan lelaki itu memberhentikan kereta sebelum bertindak menumbuk serta menendang mangsa.

"Lelaki itu turut mengambil telefon bimbit serta wang tunai dan meninggalkan mangsa di tepi jalan.

"Mangsa telah menghubungi Balai Polis Nilam Puri untuk memaklumkan kejadian tersebut.

"Mangsa yang bengkak dan lebam di muka, hidung serta lutut menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Menurutnya, suspek dan rakannya telah diberkas polis pada jam 5.30 petang, Rabu.

Mohd Rosdi memberitahu, kesemua suspek yang di tahan itu berumur 20-an dan masing-masing bekerja sebagai anggota tentera serta pemandu lori.

Katanya, kes tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam dan siasatan lanjut akan dijalankan.


*Berita asal di Sinar Harian