PUTRAJAYA: Kesemua pelajar insititut pengajian tinggi awam (IPTA) akan dikecualikan daripada bayaran fi bagi ujian pengesanan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengecualian tersebut adalah khusus bagi pelajar warganegara tempatan yang menjalankan ujian tersebut di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan COVID-19, semua pelajar perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan sesi pengajian.

“Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian yang dianggarkan sekitar RM2.79 juta,” katanya ketika bercakap pada sidang media pelancaran buku bertajuk Impak COVID-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Khamis.

Menurut Dr Adham, insiatif berkenaan bakal melibatkan anggaran seramai 18,600 pelajar IPTA yang  memulakan sesi pengajian secara fizikal bermula 1 Mac lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan seramai 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang terdiri daripada petugas barisan hadapan.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Feb lepas.

Setakat ini, negara berada pada kedudukan ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin COVID-19.