PUTRAJAYA:Majikan perlu membenarkan pelajar yang sedang menjalani latihan industri bercuti berikutan situasi COVID-19 semasa ketika ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keadaan buat masa ini adalah tidak selamat untuk mereka bekerja.

Katanya, pelajar yang sedang menjalani latihan industri berada di bawah tanggungjawab syarikat atau majikan yang mengambil mereka berkhidmat.

"Saya sudah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan mendapat maklumat bahawa pelajar yang sedang mengikuti latihan industri tidak lagi di bawah tanggungjawab mereka sebaliknya tanggungan majikan.

"Oleh itu, kuasa cuti ada pada majikan dan saya berharap... memandangkan keadaan kini kurang selamat, maka mereka dibenarkan untuk bercuti dan tidak berada di pejabat kerana mereka bukanlah pekerja tetap," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, pelepasan itu harus diberikan kepada mereka sehingga keadaan kembali pulih.

Mengulas cadangan pembukaan semula masjid atau penambahan jemaah solat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri menjelaskan ia tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Katanya, sebarang ketetapan yang ingin dibuat berhubung isu berkenaan perlulah dipersetujui oleh raja dan sultan selaku ketua agama Islam di negeri berkenaan.

Beliau menjelaskan, di Wilayah Persekutuan, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, setelah cadangan itu dipersembahkan pihak berkuasa agama atau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya menerima banyak cadangan supaya membuka semula masjid dan menambah jumlah jemaah di (aplikasi) WhatsApp, tetapi seperti kita sebutkan... ia terletak di bawah bidang kuasa (pihak berkuasa agama) negeri," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membentangkan prosedur berkaitan majlis pernikahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Beliau bentang (SOP) kepada MKN kerana ramai yang mahu bernikah tetapi tertangguh, namun kita tidak boleh umumkan lagi kerana beliau perlu menyembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan kelulusan.

"Insya-Allah setiap cadangan berkaitan agama akan kita bawa kepada Menteri Hal Ehwal Agama untuk keperluan lanjut, sebelum ia dibawa kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing," katanya.