MALAYSIA
Pelajar jatuh asrama: Kerajaan Selangor jamin siasatan telus

Rizam berkata beliau telah diarahkan oleh Menteri Besar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa serta menziarahi pelajar terbabit. - Gambar fail/DUN Selangor
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden seorang pelajar jatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata beliau telah diarahkan oleh Menteri Besar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa serta menziarahi pelajar terbabit.
"Kerajaan Negeri memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan siasatan telus dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Masyarakat dinasihati supaya bertenang, mengelakkan sebarang spekulasi dan tidak menyebarkan berita palsu. Didoakan agar pelajar berkenaan menjalani rawatan dengan baik dan kembali sihat," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pasa Selasa turut mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyemak semula aspek keselamatan sekolah, termasuk pengendalian kes buli dan gangguan seksual.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam Ahmad berkata jawatankuasa itu akan dianggotai pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Terdahulu, Polis Selangor mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami