Seorang pelajar kolej penerbangan Admal Aviation College mati lemas di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, di sini, pada Khamis.

Mangsa, Faris Iskandar Mohd Radhi, 19 tahun, sebelum itu berjaya menyelamatkan dua rakannya yang lemas ketika mandi di sungai berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud, kejadian berlaku kira-kira jam 5:30 petang ketika sekumpulan 13 pengunjung sedang berkelah dan bermandi-manda.

Mereka yang terdiri daripada 11 dewasa dan dua kanak-kanak, sebelum itu tiba di lokasi berkenaan kira kira jam 1 tengah hari dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

"Mereka yang berasal dari Perumahan Guru Sekolah Rendah Bukit Losong, Kuala Terengganu, kemudianya berkelah dan bermanda-manda di sungai terbabit sebelum dua daripadanya hampir lemas.

"Menyedari keadaaan itu, mangsa bergegas menyelamatkan Mohd Thaqiff Harry Mohd Fadhil, 12 tahun, dan Mohd Fakhri Mohd Nor, 25 tahun.

"Bagaimanapun, dia berdepan kesukaran ketika berada di tengah sungai, lalu tenggelam dan hilang," kata Mohd Adli.

BACA: Dia banyak muat naik status berkenaan akhirat - Bapa

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepasukan anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung selepas menerima maklumat kira-kira jam 5.39 petang.

Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 7.33 petang dan dihantar ke Bilik Mayat Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk dibedah siasat.