Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga meninggal dunia pada Selasa, disyaki akibat jangkitan kencing tikus atau leptospirosis selepas mandi di Jeram Mengaji, Selising, Pasir Puteh, minggu lepas.

Muhamad Fikri Farizaq Mukhtar, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Bachok, meninggal dunia pukul 10 pagi ketika sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

Bapa mangsa, Mukhtar Awang, 58, berkata anaknya yang disahkan positif dijangkiti kencing tikus oleh pihak hospital, bersama tiga rakan ke jeram berkenaan pada 27 Ogos lepas.

"Anak saya demam beberapa hari selepas balik dari jeram tersebut dan pada Ahad lepas kami bawa dia ke Klinik Kesihatan Mahligai dan dia dimasukkan air selepas disyaki denggi sebelum dibenarkan pulang.

"Bagaimanapun pada malamnya, anak saya menggigil dan sesak nafas. Kami sekali lagi ke klinik sama sebelum dia dihantar ke Hospital Tengku Anis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerus, Selising.

Katanya sebelum dihantar ke hospital, anaknya mengalami muntah darah yang teruk dan kelihatan amat lemah.

Mukhtar berkata anak bongsu daripada enam beradik itu kurang makan selepas demam.

"Memang kami amat merasai kehilangannya kerana arwah seorang yang peramah, namun kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerus petang Selasa.