Pelajar OKU dari Besut harumkan nama negara di Korea Selatan

Muhammad Thaqif berkata dia berbangga dan bersyukur kerana dapat mengharungi segala cabaran semasa pertandingan berlangsung. - Gambar/ Bernama
JERTIH: Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif Kampung Raja di sini, mengharumkan nama negara selepas berjaya merangkul dua pingat emas dalam pertandingan Global IT Challenge (GITC) for Youth Disabilities 2025 di Korea Selatan, baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Pelajar OKU dari SMA Maarif Kampung Raja meraih dua pingat emas dalam Global IT Challenge 2025 di Korea Selatan.
- Muhammad Thaqif dan Nik Nurizazi Syafiah, pelajar OKU, menang dalam acara E-Combination dan E-Content.
- Mereka mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu di persada antarabangsa dengan kejayaan mereka.
"Alhamdulillah, di sebalik kekurangan fizikal yang dialami, kami dapat membawa nama Malaysia dan Terengganu di pentas antarabangsa," katanya ketika ditemui Bernama di SMA Maarif Kampung Raja, di sini hari ini.
Muhammad Thaqif berkata dia berbangga dan bersyukur kerana dapat mengharungi segala cabaran semasa pertandingan berlangsung termasuk perubahan format pertandingan oleh pihak penganjur pada saat akhir.
"Berdasarkan format asal, masa yang diberikan kepada setiap kumpulan untuk membuat persembahan adalah selama tiga jam, tetapi sebaik sahaja acara mahu bermula mereka beritahu tempohnya hanya dua jam dan semasa pertandingan semua guru pengiring tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan.
"Namun, syukur saya dan pasukan Malaysia yang lain tidak panik dan dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik," katanya.
Pelajar tingkatan dua itu berkata semangatnya semakin berkobar-kobar dan ingin menyertai lagi pertandingan berkenaan pada tahun hadapan untuk meraih lebih banyak pingat buat negara.
Pertandingan GITC 2025 yang bertaraf dunia diadakan bagi membuka peluang dan menguji kemahiran golongan OKU berusia 14 hingga 23 tahun dalam bidang teknologi maklumat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


