BACHOK: Seorang pelajar tahfiz berusia 12 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang di Pantai Kemayan di sini pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Fadhlullah Mohamad adalah pelajar Sekolah Intergrasi Rendah Teras Islam (SIRTI), Kluang, Johor.

Mangsa dikatakan hilang di Pantai Kemayan selepas cuba untuk menyelamatkan anak saudaranya berusia 11 tahun yang tergelincir dari benteng pemecah ombak di pantai berkenaan sekitar jam 7.15 pagi tadi.

Dalam kejadian tersebut mangsa bersama ibu saudaranya berusia 19 tahun cuba menyelamatkan Muhamad Nabil Irfan Ismail Mokhtar berusia 11 tahun yang tergelincir jatuh ke laut.

Kedua-dua saudara mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga lain, manakala mangsa hilang di bawa ombak.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin memaklumkan operasi mencari mangsa dimulakan pagi tadi melibatkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain lain.

Bagaimanapun sehingga petang ini, mangsa belum ditemukan.

Mangsa bersama ahli keluarga lain dikatakan menginap di salah sebuah chalet berhampiran pantai berkenaan sejak semalam.

Keluarga mangsa sedang bercuti dan mengadakan hari keluarga di pantai berkenaan sempena cuti sekolah.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut berdepan kesukaran susulan keadaan ombak besar dan juga angin yang kuat.