JOHOR BAHRU: Seorang pelajar Palestin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini pasrah dengan nasib saudara-maranya yang berada di Gaza sama ada masih lagi hidup ataupun syahid.

Mohammed Z. M. Qaddoura, 33, pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Teknologi Pendidikan berkata kali terakhir dia dapat menghubungi ahli keluarganya di sana adalah pada Isnin lepas.

"Seramai 53 ahli keluarga saya masih berada di Gaza termasuk bapa dan saudara mara. Kini saya hanya mampu menunggu sekiranya ada mesej memaklumkan mereka telah syahid. Kami (rakyat Palestin) di sini sedang mempersiapkan diri dengan kemungkinan itu.

Serangan rejim Israel tidak lagi memberikan amaran dan mereka terus menyerang serta mengebom dengan menyasarkan kawasan kediaman yang menempatkan sehingga 20 unit rumah. Mereka nampaknya memang mahu menghapuskan seramai mungkin rakyat Palestin di Gaza," katanya.

Mohammed yang telah tinggal di Malaysia sejak empat tahun lepas dan boleh bertutur dalam Bahasa Melayu itu berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Solidariti UTM Bersama Palestin di universiti awam itu di sini hari ini.

Bapa seorang anak lelaki berusia lima tahun itu berkata walaupun dia berada dalam keadaan selamat di sini namun fikiran dan emosinya tidak tenang kerana tidak berdaya membuat apa-apa bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami penduduk Gaza.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Nadratul Huda Ahmad berkata perhimpunan itu dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan UTM, selain masyarakat setempat.

Beliau berkata perhimpunan aman anjuran MPP UTM itu merupakan pengisian hari kedua bagi pelaksanaan Program UTM Bersama Palestin yang telah dimulakan sejak semalam.

"Selain menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin di Gaza, program ini bertujuan membangunkan mahasiswa yang holistik dan bukan sekadar cemerlang dalam aspek akademik tetapi juga cakna isu sejagat," katanya.

Untuk rekod, setakat ini UTM mempunyai seramai 31 pelajar Palestin terdiri daripada 13 orang di peringkat PhD, Sarjana (dua) dan Sarjana Muda (16).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Alistair Edwards berkata Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menitahkan agar kesemua kutipan tiket perlawanan Kelab Bolasepak JDT di laman sendiri sehingga penghujung musim disalurkan ke tabung kemanusiaan Palestin.

"Kelab ini amat berdukacita dengan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa dalam peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook Tunku Mahkota Johor hari ini.

-- BERNAMA