NATIONAL
Pelajar UUM maut dihimpit bas

Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. - Facebook Official Majlis Perwakilan Pelajar UUM
ALOR SETAR: Seorang pelajar wanita Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah bas di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM, pagi tadi.
Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang mengalami kecederaan pada bahagian badan disahkan meninggal dunia selepas hampir 10 jam menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata kejadian kira-kira 8.45 pagi itu berlaku apabila pemandu bas lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di hadapan perhentian bas untuk mengambil penumpang sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi bas yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.
"Impak pelanggaran itu telah menyebabkan bas yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terus menghimpit mangsa yang ketika itu sedang berjalan kaki menunggu giliran untuk menaiki bas berkenaan."Akibat kemalangan itu, mangsa yang berasal dari Johor Bahru itu telah dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menerusi hantaran Facebook menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelajar semester empat Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian itu.
"Susulan kemalangan yang membabitkan bas kitaran kampus itu, pihak universiti sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Keselamatan UUM dan telah menghubungi pihak polis berkaitan perkara itu...polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh, laporan lengkap akan menyusul," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami