Aktor Sofi Jikan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu atas pertuduhan menggunakan ganja, tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memerintahkan Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan menjalani hukuman berkenaan bermula hari ini.

Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan yang berusia 49 tahun itu dijatuhkan hukuman sedemikian selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, iaitu tertuduh sendiri secara bersumpah di dalam kandang saksi.

“Selain itu, mahkamah juga sudah melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.

“Kamu, Mohamad Shoffi Jikan didapati bersalah dan dihukum penjara 12 bulan,” kata Mohamad Ikhwan.

Sofi pada telah didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Mei lalu pula, Sofi telah diperintah untuk membela diri selepas mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Selain hukuman penjara 12 bulan itu, tertuduh juga diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Sofi menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara peguam yang mewakilinya, Datuk Haniff Hassan memfailkan rayuan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid.